LONDON - Masa depan kelab Liverpool kini menjadi perhatian.
Terbaru, pemilik bersama kelab itu, Tom Hicks dan George Gillet bersetuju untuk menjual The Reds selepas menerima tawaran menarik daripada sebuah konsortium Kuwait.
Sebelum ini, kedua-dua pemilik itu memang merancang untuk menjual Liverpool selepas mendapat desakan daripada penyokong kelab berkenaan.
Namun, antara Hicks dan Gillet yang memiliki saham utama dalam kelab tersebut tidak sehaluan dengan keputusan untuk menjual kelab dari Anfield itu.
Begitupun, mereka kembali membuat pertimbangan selepas mengambil kira krisis ekonomi global ketika ini.
Bulan lalu, konsortium dari Kuwait itu sudah membuat tawaran, namun tawaran tidak berhasil ekoran keputusan Hicks dan Gillet yang meletakkan harga tinggi.
Cadangan penjualan kali ini dilihat lebih serius dan bakal menjadi kenyataan.
"Kami serius dengan tawaran kali ini. Hicks dan Gillet sudah bersedia berbincang berhubung jumlah pembelian," jelas jurucakap konsortium dari Kuwait, Abdulla Al-Sager.
"Liverpool memiliki peminat yang ramai dan mereka tentu inginkan sesuatu berlaku selepas ini. Kami juga ingin membangunkan stadium baru di Stanley Park seperti yang direncanakan."
Hicks dan Gillet membeli Liverpool pada 2007 dengan harga 174 juta pound (RM906 juta), namun kerjasama antara mereka mengalami masalah termasuk hubungan dingin dengan pengurus pasukan, Rafael Benitez.- Agensi
No comments:
Post a Comment