LIVERPOOL - Liverpool menanti kunjungan Aston Villa di Anfield malam ini dengan misi meneruskan momentum kecemerlangan prestasi mereka ketika ini.
Liverpool sedar mereka wajib menang kesemua baki sembilan perlawanan Liga Perdana England musim ini untuk terus menghidupkan peluang memintas pendahulu ketika ini, Manchester United.
Meskipun masih segar dengan kejayaan membelasah Real Madrid dan United minggu lalu, anak buah Rafael Benitez itu tetap perlu berhati-hati ketika berdepan Villa.
Ini kerana, berdasarkan rekod sebelum ini, skuad The Reds sering kali mencicirkan mata apabila mereka bertemu dengan pasukan bertaraf sederhana.
Bagaimanapun, Liverpool dilihat masih kebal di Anfield apabila mereka masih belum tewas selepas beraksi 14 perlawanan di tempat sendiri musim ini.
Benitez berkata, dia sedar pasukannya tidak boleh tercicir mata lagi jika mereka mahu berterusan memberi tekanan kepada United.
"Minggu lalu adalah minggu terbaik Liverpool. Tetapi saya tidak boleh kata apa jika kami gagal menewaskan Villa.
"Pemain semua tahu kami perlu menang semua perlawanan dan cuba merapatkan jurang dengan United.
"Kami boleh bercakap itu dan ini, tetapi ia tidak bermakna sehinggalah kami mencatat kemenangan," kata Benitez.
Sementara itu, pengurus Villa, Martin O'Neill berkata, dia tahu bagaimana cara untuk mencuri mata dari Anfield sebagaimana dilakukan musim lalu apabila mereka mengikat Liverpool 2-2.
"Liverpool mencatat kejayaan menakjubkan membelasah United di Old Trafford. Mereka juga kalahkan Real Madrid. Jadi, buat masa ini, prestasi mereka begitu hebat sekali.
"Apa yang perlu kami lakukan ialah kekal dengan keyakinan diri dan para pemain perlu cuba mengekalkan kekuatan sebaik mungkin. Saya yakin mereka mampu melakukannya," kata O'Neill. - AFP
No comments:
Post a Comment